Jika anda merupakan bakal ibu buat pertama kali, pasti ini merupakan detik yang mencemaskan apabila anda bakal melalui kehidupan yang jauh berbeza berbanding berdua bersama suami. Kami sangat menggalakkan para ibu untuk mencuba menyusukan anak dengan susu badan terlebih dahulu. Di sini, kami akan kongsikan 10 perkara yang anda perlu tahu tentang penyusuan badan.
10 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Penyusuan Badan
1. Susu Ibu Adalah Susu Terbaik Untuk Bayi
Susu ibu secara fitrahnya adalah susu yang paling sesuai untuk perut bayi, terutamanya yang baru lahir. Susu ibu diketahui mempunyai antibodi khusus yang tidak boleh dibina secara sintetik. Menurut pakar perubatan dari USA, Dr Jim Sears, bayi yang diberikan susu ibu didapati kurang diserang selsema serta jangkitan di hidung dan telinga. Bayi yang diberi susu ibu juga didapati lebih rendah kebarangkalian untuk menghadapi alahan.
2. Menyusukan Anak Memberi Manfaat Kesihatan Kepada Ibu Juga
Ibu-ibu juga akan turut mendapat manfaat dengan menyusukan bayi anda. Berita baik untuk ibu-ibu! Untuk jangka masa panjang, menyusukan anak berpotensi mengurangkan risiko kanser ovari dan kanser payudara. Menyusukan anak juga memberikan ruang ibu membina ikatan dengan bayi yang biasanya akan memberikan ketenangan kepada ibu. Menyusukan bayi juga merangsang perembesan hormon oxytocin dan prolactin yang membantu pengecutan uterus selepas proses bersalin. Dan menyusukan anak membakar kalori!
3. Penyusuan Badan Adalah Proses Yang Sukar Pada Awalnya
Ibu-ibu yang mempunyai pengalaman menyusukan anak mempunyai satu persamaan, mereka mengatakan penyusuan badan ini tidak mudah. Bayangkan, anak sedang menangis kelaparan dan susu yang keluar mungkin beberapa titik sahaja. Pada awal proses penyusuan juga, ibu akan merasai kepedihan pada payudara kerana kalenjar susu baru pertama kali ingin mengeluarkan susu.
Untuk melekapkan mulut bayi kepada payudara dengan betul juga merupakan satu cabaran. Lekapan (latch) yang kemas membantu merangsang susu dengan lebih banyak. Jadi, berbaloi andai anda pergi ke kelas teknik penyusuan sewaktu mengandung lagi. Pastikan suami anda turut serta dan belajar bagi membolehkan dia membantu anda kelak!
Jangan malu untuk mendapatkan bantuan konsultan penyusuan bagi mendapatkan nasihat profesional yang benar dan berkesan untuk membantu anda.
4. Menyusukan Anak Boleh Menjimatkan Perbelanjaan
Kos untuk menyusukan anak anda adalah makanan yang sihat, di mana anda perlu untuk makan juga walaupun tidak menyusu. Anda boleh berjimat sehingga RM200 sebulan kerana tidak menggunakan susu formula.
5. Nutrisi Ibu Adalah Penting
Penghasilan susu ibu amat berkait rapat dengan pemakanan ibu sendiri. Teruskan pengambilan vitamin sewaktu mengandung seperti asid folik, kalsium dan zat besi secara berkala mengikut dos yang ditetapkan. Minum sekurang-kurangnya 1.5 liter air sehari kerana itulah jumlah yang badan anda perlu untuk hasilkan untuk anak kecil anda.
Jangan berkira untuk menambah pengambilan makanan sehingga tambahan 500 kcal sehari kerana anda perlu untuk mengenyangkan dua perut.
6. Menyusu Badan Hakikatnya Memudahkan Hidup
Seorang ibu yang menyusukan anaknya dengan susu ibu sebenarnya boleh menjalani hidup dengan lebih mudah. Kerana anda adalah sumber makanan anak anda, jadi, tidak perlu untuk membawa air panas, air sejuk, botol dan susu untuk dibancuh di luar, sebaliknya, jika anak anda lapar, cari kawasan yang sesuai dan anda boleh terus menyusukan anak anda.
Mungkin ini waktu yang sesuai untuk mendapatkan pakaian mesra menyusu seperti pakaian Cozy Lady.
7. Jika Diperlukan, Campurkan Penyusuan Dengan Susu Formula
Secara idealnya, cubalah untuk menyusu badan secara eksklusif sehingga anak sekurang-kurangnya 2 tahun. Namun, secara realistiknya, ini memang sukar dilakukan, terutamanya untuk ibu yang bekerja. Pelajari teknik mengepam dan menyimpan susu perahan dan jika perlu, jangan rasa bersalah untuk menambah susu minuman anak anda dengan susu formula. Kata kuncinya, jangan terus mengalah dan memberhentikan susu badan sepenuhnya.
8. Ilmu Mengepam Susu Adalah Penting
Ibu-ibu mengepam susu kerana beberapa sebab tersendiri. Ada yang mengepam untuk lebih memperbanyakkan penghasilan susu. Ada yang mengepam bagi mengelak bengkak susu. Ada yang mengepam bagi menyimpan bekalan untuk anak sewaktu bekerja di luar. Walau apa pun sebab anda perlu mengepam, ilmu mengepam dengan betul adalah penting bagi mempermudahkan urusan anda.
9. Proses Penyusuan Akan Berakhir
Secara umumnya, menjelang umur 2 tahun, bayi telah bersedia untuk putus susu dengan ibunya (weaning). Ibu jangan sedih kerana ini tanda anak telah cukup besar dan bersedia. Proses transisi antara penyusuan ibu kepada penyusuan botol juga perlu dilakukan beransur-ansur bagi memastikan anak tetap mendapatkan nutrisi yang baik daripada susu formula.
Buat yang terbaik dan ubah mana yang perlu mengikut kesesuaian. Anda adalah hakim penyusuan anda sendiri!
10. Setiap Ibu Mempunyai Kisah Berbeza
Jangan terlalu ambil berat tentang kata-kata orang lain. Mungkin mereka tidak tahu apa yang para ibu lalui. Jangan pula terlalu ambil berat dengan kisah penyusuan ibu-ibu lain, mungkin situasi kita dan mereka berbeza.
Buat yang terbaik dan ubah mana yang perlu mengikut kesesuaian. Anda adalah hakim penyusuan anda sendiri!