Tanda-tanda Awal Penyusuan Berjaya

tanda-tanda awal penyusuan berjaya
Share

Menerima cahaya mata merupakan satu anugerah tidak ternilai bagi yang bergelar ibu dan bapa. Namun, tanggungjawab ini adalah berat dan didatangkan dengan cabaran yang banyak. Antara yang terawal dihadapi adalah cabaran menyusukan bayi, terutamanya bagi kelahiran kali pertama. Persoalan utama dalam fikiran, apakah tanda-tanda awal penyusuan berjaya? Anak kenyang ke? Cukup ke susu?

Fasa Awal Penyusuan

Majoriti bayi yang baru lahir akan secara fitrahnya cenderung untuk menghisap susu dalam sela waktu 90 minit selepas kelahiran, terutamanya jika terdapat sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi.

Ada kalanya, ibu mendapati anak baru lahir ni terlalu mengantuk dan kerap kali tertidur ketika proses penyusuan. Jika anda memilih untuk bersalin di hospital, gunakan peluang ini untuk bertanya kepada staff perubatan di hospital mengenai tips dan cara-cara terbaik untuk menyusukan anak, serta untuk mengepam susu dan seterusnya memberikan susu perahan melalui sudu atau picagari.

Pada fasa awal ini, anak kecil itu mungkin minum hanya sedikit dan kerap tertidur. Jangan terlalu risau.

Secara umum, pastikan anak kecil itu minum susu lebih daripada 5 kali dalam tempoh 24 jam pertama, bagi memastikan anak itu sentiasa menerima nutrisi yang diperlukan badan kecilnya itu.

Baca Lagi: 10 Perkara Berkaitan Penyusuan Badan

Tanda-Tanda Awal Penyusuan Berjaya

1. Anak menyusu minimum 8 kali dalam tempoh 24 jam

Selepas tempoh 24 jam pertama, untuk bayi kecil ini menerima cukup nutrien melalui susu ibu secara eksklusif, bayi akan bangun untuk menyusu sekurang-kurangnya 8 kali dalam tempoh 24 jam, atau akan bangun setiap 3 jam (mungkin berubah-ubah mengikut waktu).

Adalah perkara yang baik untuk dilakukan jika ibu mempunyai pen dan kertas (atau mencatat nota dalam telefon bimbit) untuk mencatat waktu di jam setiap kali sesi menyusu dan berapa lama bayi menyusu. Jangan terlalu berharap kepada ingatan kerana tempoh awal ini, ibu pun kepenatan dan khuatir tersilap ingat. Bantuan daripada suami dan anggota keluarga lain juga sangat baik.

2. Bayi yang kenyang akan melepaskan hisapan sendiri

Cabaran utama ibu-ibu yang menyusu terus ini adalah sukar untuk menganggarkan kuantiti susu yang telah dihisap bayi. Maklumlah, bukannya ada senggatan kuantiti seperti minum menerusi botol.

Tapi, tanda utama bayi kenyang dan puas adalah bayi akan tertidur ketika menyusu serta akan melepaskan hisapan daripada puting payudara ibu. Satu sesi penyusuan pula biasanya mengambil masa sekitar 10-20 minit.

Jika bayi anda masih menangis, kemungkinan bayi masih lapar. Cuba perbetulkan posisi ‘latching’ mulut bayi pada puting susu. Ini memerlukan cubaan beberapa kali dan memang tidak dinafikan sangat mencabar. Jika perlu, dapatkan bantuan pakar.

3. Bayi Mengeluarkan Najis Lebih 3 Kali Dalam Masa 24 Jam

Najis pertama bayi biasanya pekat dan hitam legap. Dalam hari pertama dan kedua, najis bayi yang keluar akan beransur-ansur berwarna hijau dan semakin kurang pekat.

Pada hari ketiga atau keempat, najis bayi akan keluar berwarna kuning keemasan.

Antara tanda-tanda awal penyusuan berjaya adalah selepas hari ketiga atau keempat, bayi anda buang air besar sekurang-kurangnya 2 kali dalam tempoh 24 jam, serta warna najisnya sudah menjadi kuning keemasan. Ini tanda penting bayi meminum susu yang mencukupi.

Rujuk pakar perubatan jika bayi anda tidak mengeluarkan najis dalam tempoh 24 jam.

Sebagai rujukan, berikut merupakan carta warna najis anak dan penerangannya:-

 

Infografik oleh Parents.com

4. Kencing Bayi Mencukupi

Pada 3 hari terawal selepas kelahiran bayi, perkara ini mungkin agak mencabar untuk diperhatikan kerana najis bayi sendiri yang terlalu cair dan mungkin telah bercampur dengan air kencing.

Menjelang hari ketiga, sepatutnya, ibu bapa sudah boleh mengenalpasti kencing bayi dan pastikan lampin bayi itu berat dengan air kencing sekurang-kurangnya 2 kali dalam tempoh 24 jam (jika lampin dibuka mempunyai najis, ibu bapa boleh agak ada air kencing sekali atau tidak).

Menjelang hari kelima, sepatutnya lampin basah ditukar minimum 6 jam sehari (atau setiap 4 jam). Warna air kencing pula sepatutnya jernih atau kuning yang sangat cair.

Jika bayi anda tidak menghasilkan lampin basah selama 12 jam, atau air kencingnya berwarna kuning pekat, oren atau mempunyai darah, segera ke hospital dan rujuk kepada pakar perubatan. Mungkin anak anda tidak menerima susu secukupnya.

Kesimpulan

Seminggu awal selepas kelahiran anak merupakan tempoh paling mencabar, baik untuk ibu mahupun untuk anak itu. Tempoh ini sangat kritikal bagi memastikan anak menerima cukup nutrien dan memerhatikan tanda-tanda awal penyusuan berjaya. Silap percaturan, boleh mendatangkan bahaya kepada bayi.

Bagi ibu dan bapa, sensitif terhadap perubahan anak serta tanda-tanda kekurangan nutrisi adalah penting bagi membolehkan anak kita dipantau pakar perubatan sebelum terlambat.

Misi kami adalah untuk empower wanita khususnya para ibu bagi menghadapi cabaran kehidupan sebagai ibu dan sebagai wanita yang serba mencabar ini dengan lebih yakin dan tidak berseorangan. Support kami dengan membeli pakaian menyusu Cozy Lady!