Merawat Bengkak Susu di Rumah

merawat bengkak susu
Share

Bagi ibu-ibu yang mempunyai pengalaman menyusukan anak dengan susu badan, sudah pasti akan sedikit sebanyak akan mengalami sakit bengkak susu atau mastitis. Kami kongsikan di sini mengenai punca bengkak susu dan beberapa cara merawat bengkak susu di rumah.

Bengkak Susu (Mastitis)

Bengkak susu adalah keadaan di mana wanita mengalami kesakitan diakibatkan radang (inflammation) pada payudara. Ini biasanya berlaku kepada para ibu yang menyusukan anak, terutamanya ketika bulan pertama selepas kelahiran. Walau bagaimanapun, bengkak susu masih boleh terjadi kepada para ibu pada bila-bila masa dalam tempoh penyusuan.

Antara tanda-tanda dan gejala bengkak susu adalah sebahagian payudara yang sakit itu kelihatan merah, terasa bengkak, terasa panas atau pedih apabila disentuh. Bengkak susu biasanya hanya terjadi kepada satu payudara pada satu masa.

Punca Bengkak Susu

Selepas melahirkan anak, badan para ibu akan bekerja keras bagi memberi isyarat kepada payudara untuk menghasilkan titisan susu buat anak yang tersayang. Anak yang baru lahir pula (biasanya 1-6 hari kelahiran) minum dalam kuantiti sedikit, tetapi kerap. Ada ibu yang menghasilkan lebihan susu dalam payudara sehingga mengakibatkan payudara menjadi keras dan bengkak.

Ada juga ibu yang mempunyai masalah saluran susu dalam payudara yang tersumbat. Penghasilan susu dalam kuantiti yang banyak akan memberikan tekanan kepada kawasan tersumbat ini. Ibarat empangan yang ditahan airnya pada waktu hujan, bukankah empangan itu terpaksa menanggung bebanan yang sangat berat jika tidak dilepaskan?

Cara Merawat Bengkak Susu di Rumah

Secara amnya, bengkak susu boleh dirawat di rumah sahaja. Sangat jarang bengkak susu perlu dirujuk ke hospital, kecuali jika terdapat tanda-tanda jangkitan pada payudara, atau anda mengesyaki ketulan yang bukan terhasil daripada susu.

(Baca Juga: 10 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Penyusuan Badan)

1. Masa untuk Berehat

Anda telah menggunakan banyak tenaga mengandung, bersalin dan menyusukan anak. Inilah peluang untuk anda berehat. Minta bantuan saudara mara untuk menguruskan urusan rumah tangga. Fokus untuk mengurangkan kesakitan payudara anda kerana perasaan tertekan boleh mempengaruhi pengeluaran susu.

2. Lebih Kerap Menyusukan Anak atau Mengepam Susu

Sepertimana diterangkan di atas, punca bengkak susu lazimnya adalah kerana pengumpulan susu yang banyak di dalam payudara. Cara paling berkesan untuk mengosongkan susu dalam payudara adalah hisapan seorang bayi. Namun, andai bayi anda sudah kenyang dan anda masih merasakan kesakitan bengkak susu, anda boleh cuba mengepam susu bagi memastikan payudara benar-benar kosong.

3. Tuam Payudara Anda

Tuamkan payudara anda dengan ice pack sejuk di kawasan yang sakit bagi meredakan sedikit kesakitan yang dirasai. Elakkan mengenakan ice pack beku terus ke kulit payudara kerana ini boleh mengakibatkan kecederaan di payudara. Gunakan tuaman panas sebelum sesi penyusuan bagi membantu melancarkan aliran susu.

4. Mengurut Payudara

Urut payudara dengan perlahan dengan menekan kawasan yang sakit, tolak tangan ke arah puting payudara, kemudian, dari puting, tolak ke arah ketiak. Ulang teknik ini beberapa kali dengan berhati-hati dan tidak terlalu kuat.

5. Ubat Tahan Sakit

Jika semua teknik di atas masih tidak boleh merawat bengkak susu anda, anda boleh menggunakan ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen sebagai cara hilangkan bengkak susu dan kesakitan daripadanya.

Rujukan: Famili.com.my

Jika anda merasakan kepedihan berterusan yang sukar dibendung atau tanda-tanda jangkitan, segera dapatkan rawatan daripada pakar perubatan.

Misi kami adalah untuk empower wanita khususnya para ibu bagi menghadapi cabaran kehidupan sebagai ibu dan sebagai wanita yang serba mencabar ini dengan lebih yakin dan tidak berseorangan. Support kami dengan membeli pakaian menyusu Cozy Lady!