Jangkitan rotavirus pada kanak-kanak merupakan satu insiden yang biasa berlaku. Jangkitan rotavirus merupakan antara punca utama terjadinya cirit-birit di kalangan kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi keperluan untuk sedikit sebanyak mengetahui mengenai virus ini serta bagaimana untuk mengubatinya.
Mengenai Rotavirus
Rotavirus merupakan nama yang diberi kepada satu jenis virus yang biasa merebak dalam kalangan manusia. Jika dilihat menerusi mikroskop, rotavitus ini kelihatan berbentuk bulat seperti bola. Malah, perkataan “rota” itu sendiri diambil daripada bahasa Latin yang bermaksud roda atau tayar.
Virus ini bertindak dengan mengakibatkan radang dalam dinding perut dan usus. Ianya berpotensi untuk menjangkiti bayi, anak kecil mahupun orang dewasa.
Buat masa ini, terdapat rawatan moden bagi melegakan simptom jangkitan ini sahaja. Tiada ubat-ubatan yang diketahui mampu terus melawan virus ini.
Bagaimana Rotavirus Merebak
Rotavirus boleh disebarkan melalui najis orang yang dijangkiti. Misalnya, jika anak anda mempunyai rotavirus, najis mereka akan mempunyai virus tersebut. Jika ibu bapa yang memegang najis tersebut tidak membersihkan tangan dengan teliti lalu melakukan aktiviti lain di rumah, ada kemungkinan virus tersebut disebarkan di permukaan lain di rumah yang seterusnya boleh dibawa oleh mana-mana individu lain yang memegang permukaan tersebut.
Perkara ini lebih mudah terjadi di pusat jagaan kanak-kanak atau nurseri di mana terdapat ramai kanak-kanak daripada keluarga berbeza. Jika salah seorang kanak-kanak dijangkiti, amat sukar untuk memastikan kebersihan premis tersebut daripada rotavirus.
Rotavirus mengambil masa selama lebih kurang 10 hari selepas jangkitan, sebelum simptom diketahui.
Simptom Jangkitan Rotavirus
Simptom pertama biasanya adalah demam panas diikuti sakit perut dan muntah-muntah. Bagi anak-anak kecil yang belum mampu berkata-kata, ibu bapa perlu lebih peka dalam mengenalpasti anak sedang sakit perut.
Apabila demam semakin berkurang, ini akan disusuli dengan siri-siri cirit birit. Anak anda mungkin akan membuang air besar selang 1 jam. Najisnya pula berair dan mengalir.
Dalam kes-kes yang serius, terutamanya pada anak-anak kecil, kemungkinan anak-anak akan kelihatan lesu (lethargy) dan hilang selera makan. Pada tempoh ini, anak berkemungkinan menghadapi dehydration.
Bila Perlu Bertemu Doktor
Biasanya, jika anda terkena jangkitan rotavirus, badan akan melawan sendiri penyakit ini. Biasanya, dalam tempoh seminggu, simptom akan berkurangan beransur-ansur.
Namun, jika anak-anak kecil yang dijangkiti, yang paling dirisaukan adalah jika mereka menghadapi dehydration. Badan yang tidak selesa mungkin membuatkan mereka tidak mahu makan atau minum.
Jika anak anda kurang makan atau minum, kelihatan tidak bermaya dan tidak kencing selama 12 jam, terus bawa ke hospital berhampiran bagi pegawai perubatan memasukkan kembali cecair melalui IV drip.
Rujukan: webMD