Dalam artikel kami yang terdahulu, kami ada menerangkan mengenai temperament kanak-kanak serta jenis-jenis temperament utama yang biasanya dimiliki anak-anak:
Baca: https://blog.cozybaby.biz/kenali-temperament-kanak-kanak/
Langkah pertama yang ibu bapa perlu lakukan adalah mengenalpasti jenis temperament anak-anak anda melalui artikel kami di atas.
Dalam tulisan ringkas kali ini, kami akan cadangkan beberapa teknik untuk berhadapan dengan anak-anak berdasarkan temperament mereka.
1. Easy / Flexible
Galakkan kanak-kanak dengan temperament ini untuk meluahkan perasaan mereka menggunakan bahasa lisan. Oleh kerana mereka biasanya bersikap tenang, kelebihan bagi kanak-kanak jenis ini adalah kemahiran berbahasa mereka lebih mudah dibentuk oleh ibu bapa.
Ajar anak meluahkan perasaan seperti “sedih”, “suka”, “gembira”, “marah” dan sebagainya seawal mereka sudah boleh menyebut perkataan. Kanak-kanak jenis easy / flexible biasanya lebih mudah untuk memahami maksud perkataan yang seterusnya dapat memudahkan ibu bapa untuk memahami emosi kanak-kanak jenis temperament ini kerana mereka sudah dilatih meluahkan emosi dalam bentuk lisan.
Cari masa dalam sehari untuk anak bercerita mengenai apa yang telah dilalui mereka dalam sehari dengan menggalakkan mereka menggunakan perkataan-perkataan yang menggambarkan perasaan. Galakkan mereka untuk terus meminta pertolongan secara lisan jika berhadapan masalah kerana bahasa lisan adalah kekuatan mereka.
2. Active / Feisty
Ibu bapa yang perlu berhadapan anak-anak dengan temperament Active / Feisty perlulah bersedia menjadi fleksibel. Anak-anak jenis ini kadang-kadang mudah berubah emosi lebih-lebih andai berlaku perubahan drastik atau kejutan. Ibu bapa perlu bersabar dan bersedia untuk merubah cara menguruskannya bergantung kepada situasi.
Pertama, cuba untuk sediakan pilihan yang selamat bagi anak-anak jenis ini, samada apa yang ingin dilakukan, siapa yang dia ingin bercakap serta barang apa yang ingin dibeli. Sediakan ruang dan permainan yang mencukupi untuk anak-anak jenis ini menghabiskan tenaga harian mereka. Jika telah tiba waktu tidur, cuba sediakan ruang dan suasana yang sunyi, tenang dan kondusif bagi memudahkan kanak-kanak active / feisty bertenang seterusnya melelapkan mata.
Jika perubahan drastik perlu terjadi (seperti ada tetamu akan hadir atau perlu untuk keluar bertemu orang lain), duduk pada aras mata anak dan terangkan kepada anak tentang apa yang bakal terjadi. Terangkan dengan berulang kali jika perlu sehingga dirasakan anak sudah cukup faham bahawa perubahan akan berlaku supaya tiada lagi kejutan bagi anak.
3. Slow to Warm / Cautious
Cuba untuk membina rutin yang mudah diikuti anak-anak. Gunakan gambar visual dan bahasa lisan untuk menerangkan situasi yang bakal berlaku pada anak-anak.
Sentiasa beri galakan untuk anak-anak mencuba perkara baru atau berkenalan dengan perkara baru seperti “adik berani, adik boleh buat” atau “tengok Adila suka dengan adik, adik mainlah dengan Adila”. Sentiasa yakinkan anak bahawa beliau disukai serta mampu untuk melakukan sesuatu supaya anak lebih berkeyakinan pada diri sendiri.
Kesimpulan
Anak-anak kita adalah unik dengan personaliti tersendiri. Sebagai ibu bapa, hargai kepelbagaian pada anak-anak kita dan jangan terlalu membandingkan perangai anak-anak kita dengan anak-anak orang lain. Temperament mereka untuk diurus, bukan untuk dielak.