Puting Getah Bayi Yang Ajaib
Bayi anda menangis. Sangat kuat dan tidak berhenti.
Anda memberikan susu. Bayi anda tidak minum dan terus menangis.
Anda mendodoikan bayi anda untuk tidur. Bayi anda tetap menangis.
Kemudian, anda memberikannya puting getah bayi, lalu anak anda terus menghisap puting getah itu dengan khusyuk. Anak anda berhenti menangis dan nampak tenang.
Lalu, anda terfikir, tidak mengapakah ibu bapa memberikan puting getah bayi kepada anak-anak mereka? Adakah akan mempunyai kesan terhadap anak, samada dari sudut fizikal atau perkembangan minda mereka?
Ini 5 perkara yang anda biasa anda dengar mengenai puting getah bayi dan samada perkara ini benar atau salah.
-
Penggunaan puting getah bayi boleh mengurangkan kematian mengejut pada bayi (Sudden Infant Death Syndrome – SIDS)
BENAR. SIDS merupakan satu fenomena kematian bayi secara mengejut tanpa sebarang tanda awal. Ianya dikaitkan dengan bayi gagal bernafas yang mengakibatkan bayi lemas seterusnya mengakibatkan kematian. Penggunaan puting getah bayi didapati boleh mengurangkan kemungkinan ini. Bayi yang menghisap puting secara berkala sewaktu tidur akan berada pada fasa tidur yang tidak terlalu nyenyak (walaupun mencukupi untuk bayi berehat), oleh itu, kurang kebarangkalian untuk berhentinya sistem pernafasan bayi yang baru hendak berkembang itu. Tambahan pula, tidur dengan puting getah bayi di mulut membuatkan lubang pernafasan bayi sentiasa terbuka untuk udara masuk ke peparu.
-
Penggunaan puting getah bayi secara kerap boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada gusi atau gigi bayi
TIDAK BENAR. Gusi bayi bawah 2 tahun sememangnya sangat lembut. Benar, penggunaan puting boleh mengubah sedikit struktur gusi bayi anda. Namun, gusi anak kecil ini berupaya untuk memperbaiki strukturnya sendiri. Ianya berlainan jika anak yang berumur atas 2 tahun masih menggunakan puting, di mana gusi mereka sudah mulai menjadi keras dan sukar diubah kembali.
-
Bayi yang menyusu tidak boleh diberikan puting getah bayi
TIDAK BENAR. Ibu dengan anak kecil pasti biasa mendengar ‘nipple confusion’ dan perunding menyusu (breastfeeding consultant) juga biasanya tidak membenarkan penggunaan puting getah bayi sehinggalah pola penyusuan badan telah stabil (biasanya sekitar 1 bulan selepas kelahiran). Namun, semakin ramai pakar yang mula mempersoalkan kesahihan nasihat ini. Beberapa pengkaji dari Amerika Syarikat malah telah mendapati bahawa bilangan bayi yang menyusu badan ekslusif di sebuah hospital jatuh merudum setelah hospital tidak membenarkan langsung penggunaan puting getah. Cuma nasihat mereka, pastikan anak diberi puting getah hanya apabila anak tidak lapar dan sekadar ingin bertenang.
-
Menggunakan puting getah bayi boleh meningkatkan kebarangkalian jangkitan telinga pada bayi
BENAR. Kajian telah dilakukan dan mendapati kaitan rapat antara penggunaan puting getah bayi dengan jangkitan telinga pada bayi. Walaupun tidak sepenuhnya difahami, namun, saintis berpendapat bahawa penggunaan puting getah bayi akan mengubah sedikit tekanan dalam telinga bayi (kesan hisapan berulang kali) yang menyebabkan cecair dalam telinga tidak mengalir ke hidung atau tekak, mengakibatkan kawasan telinga itu berpotensi dijangkiti.
-
Puting getah bayi hendaklah kerap dibersihkan
BENAR. Malah, sangat-sangat benar. Jangan memandang rendah kotoran pada permukaan puting bayi. Jika tidak dicuci dengan baik, melalui mikroskop mungkin akan dapat mengesan kulat atau bakteria berbahaya. Cuci puting getah bayi anda dengan sabun yang sesuai dan dilalukan dengan air suam. Simpan dengan baik puting getah bayi anda dalam tempat simpanan yang sesuai (bekas makanan bertutup atau plastik bertutup). Puting getah bayi anda juga perlu ditukar dengan yang baru setiap 6 bulan – satu tahun.
Bacaan Lanjut: Teknik menambah susu ibu