Menyusukan anak merupakan satu anugerah buat ibu. Setiap ibu pasti menginginkan penyusuan anak yang lengkap, seboleh-bolehnya sehingga anak 2 tahun. Namun, ibu menyusu kerap kali berhadapan dengan cabaran untuk memberikan komitmen 2 tahun untuk menyusukan anak. Tidak dinafikan, terdapat sebilangan ibu yang tidak dapat menyusukan anak penuh kerana berhadapan cabaran yang tidak dapat dielakkan. Namun, usaha, komitmen dan pengorbanan diperlukan oleh ibu dan suami untuk menjayakan penyusuan anak anda.
Di sini kami menyenaraikan 7 tips menambah susu ibu, sebagai rujukan dan boleh diaplikasi, jika sesuai.
1. Susukan anak / pam dengan kerap
Semakin kerap payudara dikosongkan, semakin banyak susu dihasilkan. Penyusuan atau pengepaman kerap akan memberi isyarat kepada badan bahawa bayi sedang lapar, seterusnya payudara akan menghasilkan lebih banyak susu.
Bagi ibu bekerja, jangan jadikan payudara bengkak sebagai kayu ukur untuk mengepam sebaliknya pastikan anda mengikut jadual pam yang konsisten, maksimum setiap 4 jam.
2. Melakukan Power Pump secara rutin
Dicadangkan melakukan power pump 2 kali seminggu. Antara teknik yang dicadangkan adalah menjalankan rutin mengepam 10 minit, rehat 10 minit yang diulang 3 kali (jumlah masa: 60 minit). Disebabkan memerlukan jumlah masa yang panjang setiap sesi, dicadangkan dilakukan pada awal pagi ketika bayi tidur lebih lama dan tidak menyusu. Perkara ini dapat membantu meningkatkan penghasilan susu ibu.
3. Amalkan makanan milk booster
Jika anda mencari di Google mengenai makanan ‘milk booster’, anda akan mendapati tidak kurang 100 cadangan makanan untuk diambil. Perlu diingat, setiap orang mempunyai fisiologi yang berbeza, jadi, reaksi terhadap makanan berbeza juga adalah berlainan. Teruskan mencuba makanan-makanan yang dicadangkan dan perhatikan jika anak anda mempunyai alahan. Sila rujuk pakar perubatan dengan segera jika alahan terjadi.
Halba dikatakan mampu meningkatkan pengeluaran susu ibu
4. Minum air secukupnya
Susu terdiri daripada lebih 90% air. Oleh itu, adalah satu keperluan untuk ibu menyusu meminum cukup air untuk memastikan kesihatan yang optimum untuk menyusukan anak.
5. Amalkan marmet selepas menyusu / mengepam
Marmet merupakan satu teknik mengosongkan payudara secara manual menggunakan tangan. Selepas menyusukan anak atau mengepam susu, anda digalakkan untuk mengurut payudara menggunakan tangan bagi mengeluarkan saki baki susu yang tinggal agar payudara benar-benar kosong seterusnya merangsang pengeluaran susu yang lebih banyak secara berterusan.
Untuk teknik urutan yang betul, anda boleh dapati di laman-laman web penyusuan dan breastfeeding support group.
6. Amalkan penyusuan serentak (tandem nursing)
Jika anda mempunyai hanya seorang bayi untuk disusukan dalam satu-satu masa, semasa anda menyusukan bayi, anda digalakkan untuk turut mengepam payudara sebelah lagi. Kajian daripada Prime et. al. (2012) menunjukkan bahawa penyusuan serentak berpotensi mengoptimakan kadar penghasilan susu ibu sehingga 18%.
Ini juga bermaksud, double breast pump adalah lebih baik untuk menambahkan susu ibu berbanding single breast pump.
7. Sentiasa berfikiran positif
Setiap ibu yang menyusu perlu sentiasa berfikiran positif dan yakin bahawa dia mampu untuk menyusukan anaknya sehingga umur 2 tahun. Ibu menyusu juga perlu dalam keadaan tenang dan gembira bagi membantu penghasilan susu yang mencukupi. Di sinilah peranan penting suami untuk menemankan isteri serta berborak perkara yang menggembirakan.