Share

Tips Menyimpan Susu Ibu. Semua pasti sudah mengetahui kebaikan susu ibu. Setiap ibu juga pasti mengimpikan dan bercita-cita untuk menyusukan anak secara penuh. Namun, penyusuan badan adalah sangat mencabar dan ramai ibu-ibu yang bertukar kepada susu formula sedangkan terdapat banyak lagi cara yang boleh dilakukan bagi membantu ibu-ibu menyusu ini.

Bagi ibu yang direzekikan susu yang mencukupi, malah, ada yang boleh dipam susu lebihan lalu disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Di sini, kami ingin berkongsi tips-tips menyimpan susu ibu supaya susu anda kekal segar dan selamat untuk dinikmati anak-anak anda.

1. Panduan Menyimpan Susu Pada Suhu berbeza

Berikut adalah ringkasan panduan penyimpanan suhu pada suhu berbeza.

SuhuKaedah Penyimpanan
Suhu Bilik (25 Celcius ke bawah)Tahan sehingga 6 jam
Di Dalam Cooler Bag Beserta Ice PacksSehingga 24 jam
Peti Ais (bawah 4 darjah celcius)Sehingga 5 hari
Bahagian Beku Peti AisSehingga 2 minggu
Deep Freezer (bawah 8 darjah celcius)Sehingga 6 bulan

Walaupun para ibu telah mengikut panduan ini, sentiasa pastikan semula kualiti susu sebelum diberi kepada anak. Ada kalanya, kualiti susu boleh terganggu akibat kerosakan peti ais atau bekalan elektrik yang terputus untuk satu jangka masa yang panjang. Sentiasa percaya kepada naluri keibuan anda!

2. Gunakan Cooler Bag Yang Berkualiti

Bagi ibu-ibu menyusu yang bekerja atau kerap bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, pastinya merasakan cabaran yang lebih tinggi untuk kekal menyediakan keperluan susu badan untuk anak anda.

Di pasaran, terdapat pelbagai jenama Cooler Bag untuk ibu menyusu. Bagi menjamin kualiti susu di tahap terbaik, kami sarankan para ibu untuk menggunakan cooler bag yang mempunyai double insulation supaya susu dapat kekal segar dan berkualiti untuk tempoh yang lama. Namun, harga cooler bag berkualiti seumpama ini mungkin mencecah sehingga RM150 sebuah. Tetapi, penulis berpendapat dengan membeli cooler bag yang berkualiti, adalah lebih selamat dan anda akan berpuas hati untuk jangka masa yang lama.

Antara contoh jenama yang penulis cadangkan adalah Cooler Bag Natural Moms. Penulis sendiri menggunakan Natural Moms Tokyo City dan amat berpuas hati dengan ketahanannya.

 

3. Gunakan bekas simpanan yang Steril

Sebelum menyimpan susu badan anda di dalam apa-apa bekas, pastikan bekas itu bersih dan steril. Anda boleh gunakan botol simpanan plastik (bebas BPA), botol kaca serta plastik simpanan susu (bebas BPA) yang mendapat pensijilan selamat untuk digunakan.

glass storage bottle

Pastikan tiada bendasing di dalam bekas simpanan tersebut. Jika bekas itu jenis yang digunakan semula (seperti botol), pastikan anda telah membasuhnya menggunakan sabun pembasuh botol, bilas dengan baik dengan air bersih, kemudian bilas (sebaiknya rendam 5-10 minit) dalam air panas bagi membunuh kuman dan bakteria. Setelah botol itu sejuk ke suhu bilik, barulah tuangkan susu badan anda dengan berhati-hati.

4. Labelkan Bekas Simpanan Susu Anda

Setelah bekas diisi, sentiasa labelkan bekas susu anda dengan tarikh susu dipam dan pastikan label ditulis dengan jelas.

Sentiasa susun bekas anda “First In First Out” ini bermakna, susun bekas susu anda supaya yang paling mudah diambil adalah susu yang paling lama tarikhnya supaya anda akan menghabiskan dahulu susu yang lama sebelum mengambil yang baru.

5. Tips-tips Lain

Susu yang baru dipam boleh dicampurkan dengan susu sejuk asalkan kedua-dua susu ini dipam pada hari yang sama.

Susu yang akan dibekukan akan mengembang sedikit isipadunya. Jangan isi susu ke dalam bekas sehingga penuh. Tinggalkan sedikit ruang udara untuk susu mengembang akibat pembekuan tanpa merosakkan atau membocorkan bekas susu anda.

Susu beku yang dicairkan pada suhu bilik (tidak menggunakan apa-apa pemanas) boleh bertahan sehingga 12 jam selepas ianya dikeluarkan dari peti sejuk beku.

Jangan sesekali menyimpan semula lebihan susu sejuk beku yang telah dicairkan.

JANGAN sesekali memanaskan susu anda di dalam ketuhar gelombang mikro (microwave oven). Pemanasan susu yang tidak rata mungkin mengakibatkan sebahagian susu terlalu panas dan boleh mencederakan anak anda.

Penutup

Tidak dinafikan, menyusu anak adalah tempoh mencabar bagi ibu-ibu. Namun, dengan ilmu dan persediaan yang baik, sekurang-kurangnya ianya dapat membantu meringankan beban ibu-ibu menyusu sekalian. Sesungguhnya, susu ibu itu tiada pengganti.