Share

Setiap ibu bapa pasti mahukan anak sentiasa sihat dan selesa. Kadang-kadang, anak yang kelihatan sakit membuatkan ibu bapa cemas dan risau, lebih-lebih lagi dengan anak pertama kerana inilah pengalaman pertama ibu bapa berhadapan dengan bayi sendiri.

Salah satu kemungkinan yang akan berlaku kepada bayi kita adalah kembung perut disebabkan angin atau yang dinamakan juga sebagai ‘colic‘. Menurut statistik, 1 daripada 5 bayi akan mengalami colic¬†yang biasanya bermula seawal bayi berusia kurang sebulan dan mungkin berterusan sehingga bayi berusia 6 bulan. Walaupun secara amnya colic tidak merbahaya kepada bayi, namun, ibu bapa mana yang sanggup melihat bayi kecil mereka mengerang kesakitan? Apatah lagi jika colic ini berlaku dengan kerap, ada kemungkinan tidur ibu bapa akan terganggu.

Di sini, kami akan cuba menghuraikan tanda-tanda serta cara-cara untuk membantu anak anda menghadapi colic.

Tanda-tanda Colic

1. Menangis dengan nyaring secara berterusan

Perkara ini boleh terjadi berterusan antara 10 minit sehingga lebih sejam lamanya.

2. Kejadian menangis di atas berlaku pada waktu yang lebih kurang sama setiap kali

Banyak ibu bapa berkongsi colic pada anak mereka berlaku pada lewat petang atau lewat malam sewaktu anak tidur.

3. Bayi menggenggam tangan tanda kesakitan

4. Bayi menegangkan badan tanda kesakitan

Tanda-tanda di atas adalah secara umum. Andai anda merasakan anak-anak anda terlalu sakit, kami nasihatkan terus kejarkan ke pusat perubatan berdekatan.

Cara Untuk Mengurangkan Angin Colic Pada Bayi

1. Gunakan Botol Susu Anti-colic

Di pasaran, jenama terkemuka biasanya mempunyai pilihan anti-colic. Rekaan botol seumpama ini biasanya khas untuk mengurangkan angin masuk ke dalam perut bayi.

2. Bedung Bayi Anda Dengan Kemas

Pembedungan yang kemas membuatkan bayi rasa selesa serta perut bayi sedikit ditekan untuk membantu angin dikeluarkan dengan lebih mudah.

cara mengurangkan angin colic pada bayi

3. Jadikan Rutin Mengurut Perut Anak Anda

Penulis sendiri menjadikan rutin selepas memandikan bayi pada lewat petang dengan air panas, penulis akan mengambil masa sekitar 2-5 minit untuk mengurut seluruh badan bayi, terutamanya bahagian perut. Untuk perut, urutlah dalam bentuk bulatan pada arah jam berpusing.

Kami kongsikan gambarajah mengurut bahagian atas bayi seperti berikut:-

teknik mengurut bayi

Kredit imej: Raising Children

4. Sapukan Krim Panas Pada Perut

Cari krim panas yang sesuai untuk digunakan pada kanak-kanak. Sapu dengan rata dan boleh juga digabungkan dengan teknik urutan di atas. Penulis secara peribadi menggunakan krim herba Tropika.

tropika-cream

Kredit Imej: Lazada

5. Gunakan puting / pacifier yang sesuai

Menggunakan puting (pacifier) boleh membantu bayi tenang dan meredakan colic.

6. Gunakan Ubat Colic Bayi

Langkah terakhir yang boleh diusahakan andai semua langkah di atas tidak menjadi, anda boleh untuk menggunakan cecair colic bayi, contohnya cecair Dentinox. Ubat ini diambil 2.5 ml untuk maksimum 6 kali sehari. Ubat ini sesuai juga untuk bayi yang baru lahir sekalipun.

Kredit Imej: Dentinox

Kesimpulan

Akhir sekali, sentiasa peka dengan situasi anak anda. Jika terdapat rasa kemusykilan, jangan ambil risiko sebaliknya teruslah bawa anak merujuk kepada yang pakar. Lebih baik bersusah dahulu daripada menyesal kemudian.