Share

Setiap hujung minggu, kami akan berusaha mencari tempat-tempat menarik dan boleh mendidik anak kami yang berusia 2 tahun ini. Dalam pencarian Google kami, ditakdirkan kami menemui satu tempat di Seri Kembangan yang diberi nama Farm in the City. Jika dilihat dari blog orang ramai, kelihatan menarik, apabila dapat berinteraksi dan menyentuh pelbagai haiwan secara langsung.

Lokasi

Lokasinya di Seri Kembangan, hanya bersebelahan LDP dan SKVE. Dari Ampang pula, kami mengambil masa sekitar 20 minit sahaja untuk sampai di sini. Jika hari cuti sekolah, berhati-hati kerana ruang parkingnya mungkin penuh dan terpaksa parking jauh. Berikut disertakan lakaran peta lokasi untuk rujukan:-

FarmInTheCityMap

Koordinat GPS: 2.9804032, 101.6599288

Waktu Operasi

  • Isnin – Jumaat: 10 AM – 6 PM
  • Selasa: Tutup
  • Sabtu dan Ahad: 9:30 AM – 6 PM

Yuran Masuk

Dewasa (Mykad): RM32

Kanak-kanak bawah 12 tahun (Mykid): RM27

Kanak-kanak 2 tahun ke bawah: Percuma

Secara jujur rasa agak mahal pada mulanya. Kami turut diberi sebatang aiskrim Paddle Pop Rainbow untuk anak kami.

Aktiviti

Sejurus masuk, kami sudah dapat menghidu bauan ladang. Maksudnya, bau tahi lembu dan kambing serta bauan hutan. Sebelum pintu masuk, kami sudah nampak lembu, kambing gurun serta ostrich di kawasan lapang luar pagar. Sejurus masuk, kami dapat nampak kuda padi kecil (di dalam bangsal) serta Fennec fox di belah kanan (dalam kurungan). Tapi, yang sangat menarik perhatian kami adalah Raccoon di satu sudut taman ini. Ramai orang berkerumun di situ kerana pengunjung boleh memberi makan kepada Raccoon tersebut. Yang menarik, makanan untuk Raccoon disediakan Pengurusan taman secara percuma.

2015-12-20 11.10.17-2

Jangan risau, haiwan-haiwan yang berinteraksi dengan manusia di sini telah dijinakkan. Anak kami teruja apabila Raccoon tersebut menggunakan tangan mereka mengambil makanan daripada tangan anak kami. Kami sempat mengajar anak kami menyebut perkataan ‘Raccoon’.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke kawasan haiwan-haiwan kecil. Antara haiwan-haiwan kecil yang boleh dipegang adalah White Skunk serta anak-anak ayam (orang bandar jarang nampak anak ayam, untuk pengetahuan anda ye). Taqi begitu seronok pegang anak ayam dalam tangannya. Saya hanya berdoa agar dia tidak memicit lumat anak ayam tersebut. White skunk pula, sungguh comel dan bulunya lembut macam kucing. White Skunk tidak busuk, yang busuk adalah Black Stripe Skunk, kata petugas taman.

white-skunk

White Skunk

Antara haiwan ain juga yang berada di sekitar kawasan ini adalah pelbagai jenis ular (seperti dijangka, ular berada di dalam sangkar dan tidak boleh dipegang), memerang dan beberapa reptilia jenis cicak dan biawak.

albino-snake

Albino Snake

Kemudian, dipendekkan cerita, kami juga berpeluang ke kolam ikan, di mana banyak ikan kap yang juga boleh diberi makanan yang disediakan pihak pengurusan taman. Terdapat sangkar burung di mana terdapat burung hantu, merak, itik dan beberapa lagi burung paruh kecil. Ada juga kawasan arnab yang juga boleh diberi makan.

Kemudian, kami ke kawasan kambing dan rusa. Kambing memang agak biasa lihat waktu hari raya Korban, tetapi rusa memang abah dan mama pun teruja bila dapat lihat dan pegang secara langsung. Pihak pengurusan menyediakan sayuran kangkung untuk diberi makan kepada kambing dan rusa di kawasan ini. Seperti dijangka, kawasan ini kuat bau kambing (of course).

Kambing-farm-in-the-city

“Kambing pun makan sayur” pesan abah kepada anak

2015-12-20 11.48.12

Bila anak dah letih, terus masuk kantung Andrea oleh CozyBaby

Antara tarikan utama di sini juga adalah ular sawa, katanya antara yang terbesar di Malaysia. Kami sempat dapat lihat kepala ular sawa ni terangkat, lapar agaknya. Jangan risau, ular sawa ini tidak bebas.

Antara yang juga merupakan tarikan utama di sini adalah Kura-kura gergasi (giant tortoise) yang juga boleh diberi makan. Sayuran disediakan pihak pengurusan taman. Taqi begitu seronok memberi kura-kura ini makan, walaupun waktu tu dia dah agak letih hampir sejam berjalan. Aku pula, teringat pada Galapagos Island di mana Charles Darwin mengkaji kura-kura gergasi di sana (ok cukup).

Giant-tortoise

Setelah hampir sejam 30 minit di dalam taman ini, kami beransur pulang. Berikut diringkaskan sedikit komen kami mengenai Farm in the City, Seri Kembangan:-

Kelebihan

  • kawasan yang sederhana luas, sesuai untuk berjalan kaki bersama anak kecil
  • makanan yang diberikan secara percuma dan boleh diminta berulang kali
  • kehadiran petugas-petugas taman yang tidak jemu menerangkan kepada kami dan anak kami mengenai haiwan yang mereka jaga

Kekurangan

  • Laluan taman ini berbukit, ada yang perlu naik turun tangga serta agak tidak rata dan licin. Ibu bapa dengan ‘stroller’ mungkin akan rasa sedikit susah (tips: gunalah baby carrier)
  • Taman ini kurang pertunjukan haiwan, atau slot khas memberi haiwan makan untuk ditonton pengunjung

Tips Tambahan: Jika boleh, datang seawal taman ini baru dibuka, ketika haiwan masih lapar. Kami sampai sekitar jam 11 pagi dan pengunjung sudah sangat ramai. Haiwan-haiwan di tama itu kelihatan agak kenyang dan jual mahal dengan makanan yang kami beri.

Ringkasan

  • Harga: RM32 (Dewasa MyKad), RM27 (Kanak-kanak bawah 12 tahun Mykid), Percuma (bawah 2 tahun)
  • Peruntukan masa: sekurang-kurangnya 1-2 jam
  • Rangsangan anak-anak: Gross motor skills, rangsangan deria, empathy, vocabulary

Kesimpulan

Walaupun pada awalnya kami rasa harga yang dikenakan agak mahal, namun, setelah habis berpusing, kami merasakan nilai yang didapati berbaloi dengan harga yang dibayar. Kami bebas berinteraksi dengan kebanyakan haiwan, makanan haiwan yang disediakan oleh pengurusan serta petugas yang mesra serta ‘passionate’ dengan haiwan. Kami beri 4.5/5 rating.